Selamat sejahtera,
Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, blog santai Kg.Tonobon Baru, Keningau, Sabah, ini dapat diwujudkan. Blog ini dibina sebagai wadah tatapan penduduk di samping perkongsian maklumat, berita serta isu-isu semasa di sekitar kampung ini.
Kampung ini terletak dalam lingkungan 25 kilometer daripada Pekan Keningau dan boleh dihubungi melalui jalan darat. Jarak dari simpang masuk ke kampung daripada lebuh raya Apin-Apin-Tambunan adalah sejauh 6.4 kilometer namun 2.3 kilometer masih jalan gravel (batu kelikir/tanah merah).
Rata-rata penduduk kampung ini berasal daripada Daerah Tambunan iaitu di sebelah kampung Tonobon (Lama) yang meliputi Tiong, Widu, Kirokot, Tinompok Liwan, Tompusis dan sekitarnya. Dengan latar belakang tentang asal-usul dan latar belakang penduduk kampung ini, sudah semestinyalah penduduknya daripada suku kaum Dusun.
Kampung ini telah dibuka pada sekitar tahun 1960-an yang mana diasaskan oleh barisan "Luguan Mogigiyon (Ketua Penduduk)" pada masa itu yang terdiri daripada keluarga Ingan, Bondiong, Dambarat, Bungkolong, Kinsui, Yabai, Dumbuh, Dubis dan beberapa orang lagi.
Penghijrahan dan pembukaan kawasan baru yakni kampung ini oleh tokoh-tokoh yang dinyatakan adalah demi mencari dan meneruskan kehidupan yang lebih baik kerana pada ketika itu suasana pencarian sumber rezeki dan ekonomi di kampung asal terlalu sukar. Justeru, menurut En. Sundang Ingan (mantan Ketua Kampung Kg. Tonobon Baru), penghijrahan beramai-ramai daripada kampung asal ke kampung ini berlaku pada pertengahan dan penghujung tahun 1960-an.
Pada asalnya nama kampung ini adalah Kg.Paka (mengambil nama pokok lalang, yang banyak tumbuh di kawasan kampung ini ketika pembukaan awal), yang kemudian diubah kepada nama Kg.Bunga Raya, (mengambil nama sejarah penemuan sepohon pokok Bunga Raya, yang ditemui sewaktu pembukaan awal kampung ini), namun telah diubah kepada Kg.Tonobon Baru, selepas perbincangan dengan pemimpin-pemimpin daripada Kg.Tubau dan Kg. Kodop (Ranau), yang turut serta mengikuti penghijrahan pada pertengahan tahun 1970-an. Menurut En. Kurus Dambarat, (mantan Pengerusi JKKK Kg. Tonobon Baru), nama Kg Tonobon (Baru), diambil demi mengekalkan identiti nama asal penduduk kampung ini yang datangnya daripada Kg. Tonobon (Lama), Tambunan, sementara nama Bunga Raya diambil-alih oleh penghijrah daripada Kg. Tubau, Ranau, sementara Kg Kodop Baru, bagi penghijrah daripada Kg. Kodop (Lama), Ranau.
Pendek kata, Mukim Bunga Raya (yang sedang menunggu pewartaan rasmi kerajaan sebagai mukim) adalah diasaskan oleh penduduk asal Kg. Tonobon Baru. Tidak hairanlah andai sekolah rendah (SK. Bunga Raya) dan klinik desa (Klinik Desa Bunga Raya) berada dalam kawasan Kg. Tonobon Baru.
Pada ketika ini, kampung ini mempunyai penduduk lebih kurang 1,500 orang termasuk kanak-kanak. Sumber ekonomi asas penduduk pula adalah bersandarkan kepada kegiatan pertanian (padi, getah, halia, sawit, buah-buahan serta tanaman kontan yang lain). Walau bagaimanapun, sebilangan penduduk juga bekerja sebagai kakitangan kerajaan (persekutuan dan negeri), kakitangan swasta dan sebilangan kecil lagi bekerja sendiri.
Dari segi prasarana pula, kampung ini masih ketinggalan dari segi nikmat kemudahan asas seperti sistem jalan raya yang baik, bekalan air bersih (terawat), dan sistem perparitan kampung. Adalah diharapkan pihak kerajaan akan mendengar keperluan-keperluan penduduk melalui kepimpinan kampung yang sentiasa peka dan tidak pernah putus-asa berhubung rapat dengan pihak kerajaan agar keluhan dan rintihan penduduk ditunaikan.
Semoga kampung tercinta ini akan maju setanding dengan kampung-kampung yang sudah maju.
Salam hormat.☺❤❤
Ulasan
Catat Ulasan